Asas Berfikir Dalam Islam

Idea asas untuk menulis dan membincangkan perkara ini lahir dari kecenderungan masyarakat Islam sekarang yang lebih prihatin dan terbuka untuk membincangkan hal-hal berkaitan dengan agama. Terlebih dahulu saya mengakui bahawa usaha ini hanyalah sekadar usaha kecil sedaya yang mampu dilakukan sendirian untuk memberi sedikit sumbangan dalam menjaga kemurniaan agama Islam dan berkongsi ilmu dengan rakan-rakan yang sering berkumpul dan bertemu bicara di masjid.

Ianya bukanlah suatu ilmu baru sebaliknya adalah suatu usaha kecil untuk mengumpul kaedah asas yang menjadi kerangka berfikir dan pegangan ulama Islam dalam pelbagai disiplin ilmu Islam. Jika apa yang lakukan ini terdapat kesilapan dan kekurangan maka teguran membina amat saya alukan dan hormati. Ianya adalah hasil dari pembalajaran, pembacaan, dan perbincangan saya selama lebih 25 tahun mengenai ilmu-ilmu agama dalam pelbagai bidang.

Saya berharap dengan perkongsian ringkas ini dapat memberi panduan kepada kawan-kawan yang cintakan ilmu dan agama untuk mengetahui dan membentuk kerangka berfikir yang betul dengan asas fikir dalam Islam. Senario semasa kini memperlihatkan bahawa terdapat satu ledakan kesedaran Islam yang amat kuat di kalangan masyarakat. Namun, yang menyedihkan ledakan itu bangkit di atas asas yang songsang dalam kerangka berfikir atau terdapat juga sebahagian mereka langsung tidak mengetahui kerangka apakah yang membentuk corak fikir mereka. Semua itu dilakukan secara semberono sekadar menukilkan apa yang dibincangkan oleh penulis kolum atau blogger yang mereka baca.

Ulama Islam silam telah membina satu kerangka ilmu yang cukup mantap dan kukuh demi menjaga kesucian agama Islam. Walaupun kita dapati mereka berbeza pandangan dan berselisih pendapat, namun semua itu masih dilandasi oleh kerangka berfikir yang jelas dan setiap mereka mempunyai asas atau kaedah berfikir yang jelas dan diikuti secara konsisten dalam menyatakan pandangan mereka. Sesungguhnya sikap ilmiah inilah seharusnya menjadi pegangan kita dalam menaggani perselisihan pandangan pada masa kini. Sesungguhnya ulama Islam silam mereka adalah sarjana ilmuan yang hakiki dan agung dalam memahami ilmu serta menghabiskan seluruh hidup mereka demi memartabatkan ilmu kerana Allah.

Lakaran gambaran umat Islam kini yang ghairah untuk memahami nas-nas agama, dapatlah disimpulkan tergolong dalam lapan kategori berikut;

i. Ramai penulis (samada kolum akhbar, majalah atau penulis blog) yang menulis mengenai Islam tidak mempunyai kerangka berfikir yang jelas dan tidak berpegang dengan kaedah-kaedah berfikir yang tuntas secara konsisten. Atau mungkin mereka tidak mengetahui langsung apa yang dikatakan itu dengan kaedah berfikir atau kerangka fikir dalam Islam.

ii. Golongan kedua pula, nas-nas agama itu difahami pada makna bahasa Arab secara literal dan kaku atau mungkin mereka sendiri tidak memahaminya secara betul. Jika mereka mendakwa memahami nas tersebut, fahaman itu terhasil melalui penghubung ketiga seperti terjemahan nas (dari bahasa Arab ke bahasa Inggeris) atau huraian seseorang mengenai nas.

iii. Ramainya penulis mengenai Islam yang cukup pandai bermain kata. Nas-nas yang dihidangkan kepada pembaca mungkin secebis atau sepotong ayat atau hadith tetapi diungkapnya dalam bentuk sebuah karya yang jauh menyimpang dari maksud nas-nas itu. Alangkah ramainya penulis atau pembicara di atas nama agama seperti ini.

iv. Pemidato atau pengacara rancangan yang petah berkata-kata mengenai Islam sedangkan dia langsung tidak tahu mengenai isu yang ingin dibincangkan itu. Sebaliknya cuba menunjukkan bahawa dia adalah seorang yang maha pakar dan alim dalam semua bidang agama. Alangkah aibnya sikap ini jika dia melihat dari sudut kebertanggungjawaban terhadap agama.

v. Ustaz yang berbicara mengenai agama di luar bidang pengkhususannya. Menukilkan nas-nas dan pandangan ulama muktabar hanya berdasarkan kecenderungan peribadi. Kadangkala kenyataannya itu bercanggah antara satu sama lain, atau bercanggah dengan akal logik, atau sesekali menjadi seorang yang fanatik terhadap makna nas dan sebagainya. Kesemua itu adalah gambaran kecelaruan dalam berfikir seorang ustaz yang tidak mempunyai kerangka fikir yang jelas atau lebih mengaibkan lagi mungkin dia langsung tidak mengetahui apakah itu kaedah berfikir dalam Islam.

vi. Seorang yang sukakan kebecokan dan kegegeran. Suatu isu yang sudah lama selesai dibincangkan dan ianya disembunyikan oleh ulama demi kemaslahatan ummah. Tetapi bila dia mengetahui isu itu, maka mula diungkit kembali agar dia dikenali sebagai ulama atau pemikir ummah yang membawa suatu pembaharuan dalam masyarakat. Ada sepatah ungkapan Arab yang menyatakan “buatlah sesuatu yang pelik pasti kamu akan dikenali”

vii. Ramai terdapat di kalangan masyarakat Islam yang melihat Islam bukan dari sumbernya yang asal. Mereka mungkin rajin membaca dan mengkaji, namun usaha itu dirintis di atas jalan yang silap. Islam dilihat pada rupa luarnya dan jika dilihat pada rupa dalamnya pun gambarannya adalah kabur. Mereka ini kadangkala terdiri dari “orang penting” dalam masyarakat. Akhirnya Islam sekali lagi disalahertikan.

viii. Dan yang terakhir, mereka yang mengaut keuntungan dunia di atas nama Islam. Apa saja yang dilafazkan, dituliskan, dibicarakan tiada lain matlamatnya hanyalah untuk keuntungan dunia peribadi atau kelompok. Ukuran mereka adalah satu; jika sesuatu itu mengurangkan keuntungan mereka maka semuanya salah dan tak benar.

Saya merasa amat kerdil sekali untuk menghuraikan semua kaedah-kaedah berfikir dalam Islam kerana kecetekan ilmu dan hambatan masa. Apa yang saya tulis ini hanyalah pilihan dari ribuan kaedah yang terdapat dalam pelbagai disiplin ilmu Islam yang dapat saya fahami dan saya kumpulkan dari koleksi buku-buku saya atau beberapa perpustakaan sekitar Kuala Lumpur.

TRADISI PENULISAN HADITH DALAM KARYA ULAMA MELAYU: KAJIAN TERHADAP KITAB `AQIDAH AL-NAJIN

TRADISI PENULISAN HADITH DALAM KARYA ULAMA MELAYU : KAJIAN TERHADAP KITAB 'AQIDAH AL-NAJIN

Dr. Faizuri bin Abdul Latif
Encik Faisal @ Ahmad Faisal bin Abdul Hamid

Ulama Melayu telah membina tradisi persuratan yang membentuk kerangka berfikir Islam yang menyentuh keseluruhan bidang ilmu. Mereka amat aktif dalam menghasilkan karya-karya dalam pelbagai disiplin ilmu Islam seperti `Aqidah, Feqh, Tasawwuf dan sebagainya. Untuk mengukuhkan penghujahan terhadap perbahasan yang dikemukakan, mereka turut mengemukakan pelbagai hujah dan dalil termasuk dalil Hadith. Lantaran itu, kajian ini berusaha meneliti corak dan bentuk penulisan Hadith yang terkandung dalam karya ulama Melayu, dengan memfokuskan kepada salah sebuah karya iaitu Kitab `Aqidah al-Najin. Pemilihan karya ini sebagai asas kajian kerana ia merupakan antara karya terbaik yang pernah dihasilkan oleh ulama Melayu. Selain itu, karya ini juga turut memuatkan banyak Hadith di dalamnya.

HAK CIPTA

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape

SELAMAT DATANG

Bersyukur Kepada Allah s.w.t Kerana Memberi Kesempatan dan Kesabaran Kepada Saya Untuk Menwujudkan Satu Laman Blog Buat Tatapan Para Pungunjung. Penghasilan Laman ini Diharapkan Dapat Mencambahkan Minda Kita Dengan Ruang-Ruang Diskusi, Penulisan Dan Pembacaan Karya-Karya Ilmiah Serta Menjawab Sebarang Kemusykilan Yang Timbul. Semua Karya Yang Dipaparkan Di Laman Ini Merupakan Idea Asal Penulis Dan Jika Ingin Mengambil Entri Di Dalamnya Sila Maklumkan Kepada Saya Serta Sebarang Pertanyaan Bolehlah Menghubungi Alamat Email Yang Tertera Di Bawah :
faisal@um.edu.my
najib.ubadah@gmail.com

Abu Farhain

Abu Farhain
Merupakan Seorang Pensyarah Kanan di Jabatan Sejarah Dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Kuala Lumpur. Lulusan Sarjana Muda (B.A) Wifaq al-Madaris al-Salafi, Hyderabat Pakistan Dan Universiti Al-Azhar, Mesir. Memperolehi Ijazah Sarjana (M.Usul) Dari Universiti Malaya. Seterusnya mendapat Ijazah Doktor Falsafah di Institusi Pengajian Yang Sama. Bidang Kepakaran: Warisan Islam Dan Manuskrip Melayu, Kesusasteraan Melayu Dan Biografi Ulama Melayu Islam.